mutakhir

Enam memandu bawah pengaruh alkohol ditahan

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Petaling Jaya: Enam pemandu di bawah pengaruh alkohol ditahan dalam Op Alkohol dan Pencegahan Jenayah di daerah ini.

Dalam operasi dua hari bermula Jumaat sehingga semalam itu, 44 individu turut dikenakan saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, operasi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya bermula jam 11 malam hingga 3 pagi itu turut memeriksa 629 individu membabitkan 610 kenderaan.

"Hasil pemeriksaan, enam lelaki berusia 23 hingga 52 tahun ditahan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol melebihi had ditetapkan.

"Masih ada pengguna jalan raya yang memandu di bawah pengaruh alkohol walaupun operasi sentiasa dilaksanakan polis.

"Mereka yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam operasi sama, Nik Ezanee berkata, 44 individu turut dikenakan saman atas pelbagai kesalahan.

Katanya, daripada jumlah itu, 12 individu melakukan kesalahan mengikut Seksyen 26 APJ 1987 kerana memandu atau menunggang tanpa lesen dan mereka akan dihadapkan ke mahkamah dalam masa terdekat.

Disiarkan pada: October 11, 2020 @ 12:34pm
d