mutakhir

Dua pemancing terkandas, diselamatkan

Oleh Zuliaty Zulkiffli

Yan: Dua pemancing terselamat selepas bot yang dinaiki mereka dipukul ombak dan terkandas di kawasan pantai Pulau Telor dekat sini.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Kedah Komander Maritim Mahmad Faizal Ahmad berkata, kejadian berlaku pada 5 petang semalam menyebabkan mereka terkandas di pulau itu hampir 16 jam sebelum diselamatkan.

Menurutnya, Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Langkawi segera melancarkan operasi selepas menerima maklumat untuk membantu kedua pemancing terbabit.

Katanya, Chan Yew Ming, 47, dan rakannya, Lee Kim Loon masing-masing berusia 47 tahun dilaporkan keluar memancing dengan menaiki sebuah bot dari jeti Penang Swimming Club Pulau Pinang pagi semalam.

"Bagaimanapun, bot yang mereka naiki dipercayai dipukul ombak dan terkandas di kawasan pantai Pulau Telor," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mahmad Faizal berkata, anggota APMM turut berdepan cabaran apabila bot sukar melalui kawasan itu berikutan ia berbatu selain faktor air surut.

Menurutnya, operasi menyelamat kemudian disambung semula pagi tadi dengan bantuan nelayan tempatan untuk membantu menunda bot mangsa.

"Kedua-dua pemancing berjaya diselamatkan dan bot mereka ditunda pada 9.52 pagi tadi.

"Mereka tidak mengalami sebarang kecederaan malah bot mereka dalam keadaan baik," katanya.

Disiarkan pada: October 11, 2020 @ 2:15pm
d