mutakhir

23 kontak Dr Zulkifli negatif Covid-19

Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim

Kota Bharu: Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan mengesahkan seramai 23 individu yang mempunyai kontak dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri sudah menjalani ujian saringan Covid-19.

Pengarahnya, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, hasil ujian saringan berkenaan mendapati kesemua mereka negatif pandemik itu.

"Ketika pengesanan kontak, kita mengenal pasti 60 individu namun 23 daripadanya perlu menjalani ujian saringan Covid-19.

"Bagaimanapun, tiga daripada mereka perlu menjalani ujian saringan kedua disebabkan pendedahan mereka pada tarikh berbeza-beza.

"Keputusan ujian saringan kedua tiga kontak berkenaan dijangka diketahui hari ini atau esok," katanya ketika dihubungi.

Sebelum ini dilaporkan, Dr Zulkifli mengesahkan beliau positif Covid-19 dan kini sedang menjalani rawatan di hospital.

Beliau turut menyeru orang ramai yang hadir majlis membabitkan kehadirannya dari 24 September hingga 4 Oktober supaya menjalani ujian saringan Covid-19 dengan segera.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 11, 2020 @ 2:17pm
    d