mutakhir

Enam sekolah di Larut Matang Selama ditutup

Oleh Zahratulhayat Mat Arif

Ipoh: Enam sekolah di Larut Matang Selama (LMS) ditutup selama seminggu bermula esok selepas terdapat kes positif Covid-19 dikesan membabitkan kakitangan sekolah terbabit.

Sekolah berkenaan adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) King Edward VII, SMK (P) Treacher Methodist, SMK Bukit Jana, Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Jana, SK Convent Kota dan SK Ulu Mengkuang.

Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil Perak, Razman Zakaria berkata, penutupan sekolah itu adalah selaras dengan arahan dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebagai langkah pencegahan awal mengurangkan risiko penularan pandemik berkenaan.

"Kedudukan sekolah berkenaan hampir dengan kawasan kem tahanan di Taiping yang mempunyai rekod jangkitan Covid-19," katanya.

Bagaimanapun, beliau minta ibu bapa dan penjaga agar tidak panik dengan situasi itu dan menasihati mereka untuk mematuhi segala arahan dikeluarkan pihak sekolah.

"Kita akan terus memantau situasi ini dari semasa ke semasa dan kita mohon semua warga sekolah agar segera melaporkan kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) masing-masing sekiranya berlaku penularan Covid-19," katanya.

Perak mencatatkan 15 kes baharu sejak 29 September lalu dengan Kluster Batu dikesan di kem tahanan di Taiping.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 11, 2020 @ 4:45pm
    d