mutakhir

Johor akan bentang pelan buka sempadan

Oleh BERNAMA

Johor Bahru: Johor akan membentangkan pelan khusus mengenai keperluan membuka segera sempadan Malaysia-Singapura membabitkan Tambak Johor dan Linkedua kepada kerajaan pada mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi, Isnin depan.

Menteri Besar Datuk Ir Hasni Mohammad berkata, pembentangan itu bukan sahaja menyentuh mengenai keperluan membuka sempadan, tapi juga melihat kepada sudut mereka yang bekerja, kesan terhadap pelaburan di Johor serta mereka yang berhasrat untuk masuk melabur di negeri itu.

"Kita perlu menjelaskan mengapa langkah ini (pembukaan sempadan) dibuat kerana kita tidak boleh terus berada dalam keadaan begini kerana ramai rakyat yang terjejas, begitu juga perniagaan-perniagaan," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penutupan Pameran Inovasi Antarabangsa Asia 2020, di sini, hari ini.

Hasni berkata, Johor mempunyai sebab untuk mendapat pertimbangan sewajarnya atas keperluan terbabit kerana antaranya hasil cukai daripada kedua-dua pintu masuk itu menyumbang sehingga 50 peratus hasil kutipan cukai kastam kepada negara.

"Apabila kita tidak dapat membuka sempadan ini, tentulah saya yakin dan percaya ia menjejaskan hasil perkastaman negara. Kita juga dapat melihat kesan langsung apabila ramai yang tinggal di Johor Bahru tidak dapat berulang-alik bekerja atau menjalankan urusan mereka ke Singapura," katanya.

Terdahulu dalam ucapan, Menteri Besar Johor itu menyatakan kebimbangan beliau mengenai banyak perniagaan terjejas teruk berikutan pintu sempadan negara masih tidak dibuka sepenuhnya bagi mengekang penularan Covid-19.

Topik pembukaan sempadan antara Malaysia-Singapura adalah isu berterusan yang dibincangkan di kedua-dua negara akhir-akhir ini kerana terdapat desakan untuk dibuka semula sepenuhnya selepas banyak sektor pekerjaan dan ekonomi terjejas.

Pada 4 Oktober lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed mengakui perbincangan mengenai pembukaan sempadan itu sentiasa menjadi agenda dan perhatian kerajaan pusat, meskipun negara kini sedang berdepan peningkatan kes Covid-19.

Menurut Mustapa, kerajaan memahami bahawa Covid-19 mempunyai risiko, namun merasakan perlu ada keseimbangan dalam menangani isu ekonomi dan kesihatan bagi memulihkan ekonomi.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 11, 2020 @ 5:31pm
    d