mutakhir

Covid-19: Lima kluster baharu dikesan [METROTV]

Oleh Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini mengenalpasti lima kluster baharu penularan virus Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pecahannya ialah tiga kluster dikesan di Sabah manakala masing-masing satu kluster di Selangor dan Labuan.

Beliau berkata, kluster yang membabitkan Sabah adalah Kluster Kasih di daerah Lahad Datu; Kluster Surat (daerah Sandakan) dan Kluster Khazanah juga dikesan di daerah Lahad Datu.

"Kluster Sungei Way pula membabitkan daerah Petaling dan Gombak, Selangor dan daerah Titiwangsa, Kuala Lumpur.

"Kes indeks bagi kluster baharu ini (iaitu kes ke-14,307) dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan individu bergejala 7 Oktober lalu dan dimasukkan Hospital Sungai Buloh.

"Saringan kontak rapat mengenal pasti 17 lagi kes positif. Sehingga 11 Oktober jam 12 tengah hari, sejumlah 149 individu disaring, di mana 18 kes dikesan positif Covid-19, 124 individu negatif dan tujuh individu masih menunggu keputusan," katanya.

Katanya, kluster baharu membabitkan Labuan adalah Kluster Bah Bundle.

Dr Noor Hisham berkata, kes indeks bagi kluster itu adalah kes ke-11,771 dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi Sabah pada 2 Oktober lalu dan dimasukkan ke Hospital Labuan.

"Saringan kontak rapat mengenal pasti dua lagi kes positif Covid-19. Sehingga hari ini, sejumlah 430 individu disaring, di mana tiga kes dikesan positif, 131 individu negatif dan 296 individu masih menunggu keputusan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 11, 2020 @ 7:27pm
    d