mutakhir

Asal mabuk, gaduh...

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Pergaduhan membabitkan sekumpulan lelaki di sebuah pusat hiburan di Jalan Imbi di sini awal pagi tadi, dipercayai kerana mabuk.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian itu jam 4.45 pagi.

Katanya, anggota di Unit Kereta Peronda Polis (MPV) dikejarkan ke lokasi, namun pemeriksaan di pusat hiburan yang terletak di tingkat lapan itu mendapati barang-barang dalam keadaan berselerak.

Menurutnya, tindakan susulan pihaknya menahan 12 lelaki berusia antara 23 hingga 36 tahun yang dipercayai terbabit dalam pergaduhan berkenaan.

"Siasatan awal mendapati kejadian itu berpunca daripada selisih faham dua pihak yang dalam keadaan mabuk.

"Tiga daripada 12 suspek yang ditahan mengalami luka di kepala dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk mendapatkan rawatan," katanya.

Beliau berkata, semakan mendapati enam daripada 12 suspek yang ditahan mempunyai rekod jenayah.

"Ujian saringan awal air kencing dilakukan terhadap mereka didapati negatif dadah.

"Permohonan reman terhadap suspek akan dilakukan esok untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan," katanya.

Disiarkan pada: October 11, 2020 @ 7:53pm
d