mutakhir

Selepas disiasat SPRM kini ditahan polis pula

Oleh Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Tiga individu yang ditangkap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini berhubung kes pusat panggilan membabitkan kegiatan judi dalam talian, ditahan semula oleh polis, semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata ketiga-tiga individu itu akan direman bermula hari ini.

"Sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan," katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, laporan media memetik baki sembilan tahanan reman kes siasatan pengubahan wang haram oleh SPRM termasuk dalang Macau Scam, dibebaskan dengan jaminan, petang semalam.

Bagaimanapun, lapan daripada mereka kemudian ditahan semula JSJ Bukit Aman untuk siasatan lanjut.

Sebelum ini Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki mengesahkan penahanan 20 individu termasuk lapan pegawai polis dan seorang warga China, selain akan membuat beberapa siri tangkapan lain.

Setakat ini, SPRM sudah membekukan lebih RM80 juta daripada 730 akaun bank dan menyita wang tunai RM5 juta.

Selain itu, SPRM turut merampas 23 kenderaan mewah pelbagai jenama serta motosikal berkuasa tinggi yang dipercayai dibeli hasil daripada aktiviti judi dalam talian tempatan.

Sindiket cuci wang itu dipercayai melaburkan wang daripada aktiviti kegiatan berkenaan ke dalam perniagaan yang dijalankan oleh selebriti dan personaliti terkenal tanah air serta usahawan kosmetik tempatan.

From: Amir

Disiarkan pada: October 12, 2020 @ 10:55am
d