mutakhir

Tahan semula kes judi selepas mahkamah tolak reman

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Polis menahan semula tiga individu selepas mahkamah menolak perintah reman terhadap mereka yang disyaki mendalangi kes pusat panggilan membabitkan kegiatan judi dalam talian.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, seorang lelaki dan dua polis ditahan semalam selepas dibebaskan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM).

Menurutnya, bagaimanapun mahkamah menolak permohonan untuk mendapatkan reman itu hari ini namun, mereka ditahan semula membabitkan satu lagi laporan berkaitan perjudian di Cheras.

"Kita tahan mereka semula bagi membantu siasatan berkaitan perjudian di daerah Cheras yang berkaitan dengan tiga individu ini.

"Permohonan reman baharu akan dipohon supaya siasatan dapat dijalankan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Harian Metro semalam melaporkan polis memberkas tiga individu yang sebelum ini ditahan SPRM berhubung kes pusat panggilan membabitkan kegiatan judi dalam talian.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata ketiga-tiga individu itu akan direman bagi membantu siasatan.

Disiarkan pada: October 12, 2020 @ 3:57pm
d