mutakhir

50 silinder gas LPG dirampas

Oleh Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Sejumlah 50 silinder mengandungi gas petroleum cecair bersubsidi bernilai RM5,000 dirampas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor dalam serbuan di Serendah, hari ini.

Pengarahnya, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, serbuan menerusi Ops Gasak dilakukan selepas pihaknya mendapat maklumat daripada orang Awam.

Katanya, Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP Cawangan Kuala Kubu Bharu, Selangor mendapat maklumat mengenai kegiatan penyimpanan gas LPG tanpa lesen.

"Ketika serbuan dijalankan pada jam 10 pagi, pemilik premis gagal mengemukakan lesen bagi menyimpan barang kawalan berjadual LPG.

"Hasil pemeriksaan lanjut, pasukan kami menemui silinder gas petroleum cecair 14 kilogram bersubsidi (berisi) berjumlah 50 silinder di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, keterangan awal daripada seorang suspek yang juga pemilik perniagaan berkenaan mendapati penghantaran gas terbabit adalah untuk pasaran di sekitar kawasan Serendah dan Batang Kali.

Katanya, premis itu sentiasa tertutup dan berkunci ia bagi mengelakkan daripada aktiviti haram dihidu KPDNHEP.

"Stor terbabit didapati beroperasi sejak seminggu lalu dan waktu operasi adalah 9 pagi hingga 7 malam.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu menyimpan barangan kawalan dengan niat melakukan kesalahan dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, dan bagi kesalahan yang kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi RM3 juta atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, jika individu itu bukan suatu pertubuhan atau perbadanan.

"Jika orang itu ialah suatu pertubuhan perbadanan, didenda tidak melebihi RM2 juta dan bagi kesalahan yang kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi RM5 juta.

"Saya ingin menegaskan bahawa kami akan menjalankan siasatan terperinci bagi mengesan dalang sindiket di sebalik aktiviti ini sehinggakan kerajaan mengalami kerugian jutaan ringgit akibat aktiviti penyelewengan gas petroleum cecair bersubsidi.

"Kita juga akan menjalankan siasatan lanjut secara terperinci termasuklah mengesan pemilik premis atau penyewa premis untuk dituduh di mahkamah," katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyelewengan barang bersubsidi kerajaan ini disarankan supaya melaporkannya melalui hotline 1-800-886-800 atau 03- 8882 6088 di Enforcement Command Centre (ECC) atau hadir sendiri ke mana-mana pejabat KPDNHEP yang berhampiran supaya tindakan sewajarnya boleh diambil dengan lebih efektif.

Disiarkan pada: October 12, 2020 @ 7:59pm
d