mutakhir

Covid-19: Dua lagi sekolah ditutup di Baling

Oleh Safuri Kamarudin

Baling: Dua lagi sekolah di negeri ini ditutup hari ini, menjadikan keseluruhan lapan sekolah ditutup berikutan penularan pandemik Covid-19 membabitkan warganya.

Dua sekolah yang ditutup pagi ini adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Dalam Wang dan SK Kuala Ketil yang ditutup tujuh hari sehingga 19 Oktober depan.

Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Najmi Ahmad, berkata Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah mengarahkan penutupan bagi mengelak lebih ramai guru, murid dan kakitangan sekolah dijangkiti virus itu.

Katanya, berikutan itu semua mereka diminta menjalani proses kuarantin rumah mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan.

"Sehingga ini lapan sekolah ditutup membabitkan empat sekolah menengah dan empat sekolah rendah di Baling, Alor Setar dan Pokok Sena.

"Kita berharap dalam tempoh bercuti selama tujuh hari sekolah ditutup ini, ibu bapa dapat membantu murid belajar melalui kaedah secara dalam talian," katanya ketika dihubungi.

Katanya, JPN juga telah menggariskan beberapa kaedah Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) untuk murid tidak mempunyai akses Internet.

"Guru akan membantu menyediakan bahan pembelajaran murid yang akan diletak di tempat khas yang disediakan di sekolah.

"Waris kemudian diminta hadir untuk mengambil bahan pembelajaran berkenaan mengikut SOP," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 13, 2020 @ 10:02am
    d