mutakhir

'Semoga dipermudahkan' - Anwar Ibrahim

Oleh Shamran Sarahan; Amir Abd Hamid;Yusmizal Dolah Aling; Nurul Hidayah Bahaudin; Hajar Umira Md Zaki dan Mohamad Fais Jusoh

Kuala Lumpur: "Semoga dipermudahkan segala urusan hari ini". Itu status terkini Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 10 pagi hari ini.

Status yang dimuat naik di Facebook (FB) Anwar dan turut disertakan gambar beliau bersama isterinya Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dipercayai berkaitan pertemuan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu dengan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri' ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dijadualkan pagi ini.

Al-Sultan Abdullah dijangka membuat beberapa pengesahan terlebih dahulu selepas perkenan menerima menghadap Anwar hari ini berhubung dakwaan Anwar mempunyai sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan baharu di Malaysia.

Proses verifikasi itu amat penting untuk Seri Paduka Baginda melihat bukti sokongan majoriti kepada Anwar seperti kenyataan bersumpah (SD).

Anwar mengesahkan beliau akan menghadap Yang di-Pertuan Agong hari ini bagi mempersembahkan keterangan lengkap mengenai jumlah majoriti ahli Parlimen yang menyokongnya yang didakwa kukuh dan meyakinkan.

Terdahulu pada satu sidang media di sebuah hotel di ibu negara pada 23 September lalu, Anwar mendedahkan mempunyai sokongan kukuh daripada ahli Parlimen untuk menubuhkan kerajaan baharu.

Anwar dipetik berkata, beliau sudah mendapat perkenan untuk menghadap sehari sebelum itu namun terpaksa ditangguhkan selepas Baginda menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

Sementara itu, Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution dalam kenyataan media semalam mengarahkan semua pengikut parti tidak mengadakan apa-apa perhimpunan susulan pertemuan Anwar dan Al-Sultan Abdullah.

Petugas media masih menunggu maklumat masa dan tempat sidang media yang dijangka akan diadakan Anwar hari ini.

Berita berkaitan

  • Anwar tiba di Istana Negara

  • Menanti Anwar
  • Disiarkan pada: October 13, 2020 @ 11:13am
    d