mutakhir

Tak mengaku guna gelaran Tan Sri, Datuk

Oleh Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini atas tuduhan menggunakan gelaran tidak diiktiraf.

Tertuduh, Mujeebudeen Abdul Samad, 61, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Wong Chai Sia.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melalui perkhidmatan aplikasi Twitter dengan menggunakan laman profil Twitter Tan Sri Datuk Dr Hj Mujeebudeen di pautan https://twitter.com/TSDMujeebudeen dan melalui aplikasi laman profil Facebook Tan Sri Dato Mujeebudeen di pautan https://www.facebook.com/UMNO.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada 7 Jun lalu.

Bagi perbuatan itu, dia didakwa di bawah Seksyen 3(2) Akta Kesalahan Yang Berhubungan Dengan Anugerah 2017 (Akta 787) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 3(3) akta sama yang membawa hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Wan Ahmad Hakimi Wan Jaafar tidak menawarkan sebarang jaminan kerana ia adalah kes tidak boleh dijamin.

Bagaimanapun, peguam tertuduh, Amanda Wong Yoke Ting meminta mahkamah memberi jaminan yang rendah atas alasan tertuduh dan isterinya menghidap sakit jantung selain tidak bekerja serta bergantung harap kepada anak mereka sahaja.

"Tertuduh juga tidak mempunyai pendapatan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan perlu menanggung empat ahli keluarga," katanya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 13 November depan untuk sebutan semula kes.

Disiarkan pada: October 13, 2020 @ 11:57am
d