mutakhir

Serah kepada Jabatan Peguam Negara hari ini [METROTV]

Oleh Mohamed Farid Noh

Iskandar Puteri: Kertas siasatan bagi kes pemandu wanita yang menyebabkan kematian seorang anggota tentera Sabtu lalu, akan diserahkan ke Jabatan Peguam Negara di Putrajaya, hari ini, bagi tindakan pendakwaan.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata kertas siasatan itu diserahkan Ketua Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Johor Bahru Selatan (JBS), Deputi Superintendan Zamri Shariff, di Pejabat Undang-Undang Negeri Johor, kira-kira jam 9 pagi tadi.

"Pertemuan pagi ini membabitkan Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik JBS, pegawai penyiasat kes bersama Pengarah Pendakwaan Negeri Johor bagi memberikan taklimat dan cadangan pertuduhan bagi kes ini.

"Kertas siasatan ini akan diserah ke Jabatan Peguam Negara pada hari ini untuk arahan dan tindakan selanjutnya," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahad lalu, polis menahan pemandu Perodua Myvi wanita berkenaan yang terbabit dalam kemalangan dengan dua kenderaan di Kilometer 4 Jalan Johor Bahru - Kota Tinggi, di sini pagi Sabtu lalu, hingga menyebabkan seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laskar Kanan Mohd Rizal Buseri, 31, maut di tempat kejadian manakala Nur Fatin Nazrah, 23, dan Chang Ah May, 78, mengalami kecederaan ringan.

Difahamkan, pemandu berusia 23 tahun itu dipercayai tidak mempunyai lesen memandu kenderaan, selain cukai jalan dipercayai sudah tamat tempoh, sudah dilepaskan atas jaminan polis.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd Padzli Mohd Zain, dilaporkan berkata saringan awal air kencing mendapati pemandu berkenaan positif dadah.

Sementara itu, Zamri yang dilihat memasuki Pejabat Undang-Undang Negeri Johor kira-kira jam 9 pagi ini di Bangunan Datuk Jaafar Muhammad hanya keluar selepas kira-kira dua jam setengah berada di dalam pejabat berkenaan.

Berita berkaitan

  • 'Saya serah pada pihak berkuasa' - balu Allahyarham Mohd Rizal Buseri
  • Mungkin tiada lesen, cukai jalan juga
  • Pemandu Myvi rempuh dua kereta positif dadah [METROTV]
  • Disiarkan pada: October 13, 2020 @ 1:13pm
    d