mutakhir

Polis rampas 3.5 tan daun ketum

Oleh Safuri Kamarudin

Baling: Sebanyak 3.5 tan daun ketum yang dibungkus dalam plastik hitam dirampas daripada seorang lelaki di Kampung Bok Bak, Kupang dekat sini, jam 6.15 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Baling Superintendan Syed Basri Syed Ali berkata, suspek yang berusia 38 tahun ditahan anggotanya pada rondaan pencegahan jenayah.

"Hasil siasatan mendapati, suspek yang berasal dari Kelantan mendapat bekalan itu di utara negeri ini dan ia untuk pasaran Kelantan.

"Daun ketum terbabit dianggarkan bernilai RM35,000.

Harga pasaran di Kelantan mencecah RM80 sekilogram dengan nilai jualan RM140,000.

"Jika dijual di Thailand, harganya mencecah RM280,000," katanya pada sidang media.

Syed Basri berkata, daun ketum terbabit turut diletak ketulan ais bagi menjaga kualitinya sebelum di jual.

Menurut beliau, suspek mengaku mengambil upah membawa daun ketum dari utara Kedah dengan bayaran RM800 bagi satu perjalanan.

"Harga ketum di ladang ialah RM10 sekilogram dan di jual di Kelantan pada harga RM40 sehingga RM50 sekilogram," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan suspek akan direman esok.

Disiarkan pada: October 13, 2020 @ 2:38pm
d