mutakhir

Samun barang kemas RM3 juta: Polis sedang kenalpasti suspek

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Polis masih menjalankan siasatan termasuk mengenalpasti suspek yang terbabit berhubung kejadian samun di Lebuhraya Besraya pada 22 September lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata, sebelum ini pihaknya sudah menahan seorang lelaki pada 7 Oktober lalu.

"Polis menahan lelaki berkenaan di Teluk Pulai, Klang bagi membantu siasatan berhubung kejadian.

"Dia kemudian dibebaskan dengan jaminan polis kelmarin selepas reman terhadapnya ditolak sebanyak dua kali," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Pada 22 September lalu, seorang jurujual sebuah syarikat pengedar emas dan rakannya cedera selepas cermin kenderaan dinaiki mereka dipecahkan tiga lelaki bersenjatakan parang dalam kejadian samun di Lebuhraya Besraya.

Kejadian itu berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari Kuchai Lama menghala ke Sungai Besi sebelum dihalang dua pacuan empat roda pada 3.35 petang.

Tiga lelaki yang bersenjatakan parang menghampiri kenderaan mangsa dan memecahkan cermin kenderaan itu sebelum menarik jurujual berkenaan serta rakannya keluar dari kenderaan terbabit.

Suspek kemudian terus melarikan kereta mangsa bersama barang kemas dan wang tunai di dalam kenderaan itu.

Akibat kejadian itu, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan akibat terkena serpihan cermin dipecahkan suspek.

Berdasarkan siasatan mendapati syarikat mengalami kerugian barang kemas bernilai RM3 juta dan wang tunai RM67,000 serta kenderaan Toyota Hilux yang dibakar bernilai RM70,000.

Disiarkan pada: October 13, 2020 @ 3:50pm
d