mutakhir

Penumpang AirAsia, tetamu perkahwinan diminta buat saringan Covid-19

Oleh BERNAMA

Labuan: Seramai 95 penumpang pesawat AirAsia AK5172 Kuala Lumpur-Labuan pada 6 Oktober lalu diminta untuk menjalani saringan Covid-19 selepas seorang penumpang diuji positif jangkitan virus itu, Ahad lalu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan Dr Ismuni Bohari berkata, semua penumpang penerbangan jam 7.20 pagi itu perlu menjalani ujian saringan.

Dr Ismuni turut menggesa semua tetamu sebuah majlis perkahwinan di Dewan Konvensyen Financial Park Labuan (FPL) pada 3 Oktober lalu yang belum menjalani saringan supaya berbuat demikian kerana seorang daripada jemputan itu positif jangkitan virus itu.

Lebih 200 tetamu menghadiri majlis perkahwinan itu sudah menjalani ujian di Klinik Kesihatan Membedai tetapi belum memperoleh keputusan ujian.

Labuan kini mempunyai dua kluster iaitu Bah Bangat (bermula 8 Oktober) dengan sembilan pesakit termasuk seorang pelajar serta Kluster Bah Bundle dengan lima pesakit masih dipantau di pusat pengasingan Hospital Labuan.

Dr Ismuni berkata, sebanyak 13,462 sampel sudah diambil setakat Isnin lalu daripada orang ramai yang pulang dari Sabah sejak 26 September dan daripada jumlah itu, sebanyak 9,680 keputusan saringan sudah dikeluarkan manakala 3,776 lagi masih menunggu keputusan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 13, 2020 @ 5:08pm
    d