mutakhir

Malaysia dapat keutamaan terima vaksin Covid-19 - PM

Oleh Yusmizal Dollah Aling dan Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuala Lumpur: Malaysia menjadi negara mendapat keutamaan menerima vaksin Covid-19 dari China yang dijangka siap sepenuhnya akhir tahun ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, komitmen itu disuarakan Menteri Luar China Wang Yi dalam pertemuan bersama Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, hari ini.

Menurutnya, vaksin berkenaan juga dijangka diterima sebaik China selesai menjalankan ujian klinikal terakhir hujung tahun ini.

"Sebagai sebuah negara yang paling ke hadapan dalam penghasilan vaksin Covid-19, China juga akan bekerjasama dengan Malaysia.

"Saya juga sudah meminta kerjasama ini dibuat menerusi perjanjian persefahaman (MoU) antara Malaysia yang akan diwakili Menteri Luar dengan Menteri Luar China," katanya dalam sidang media khas, hari ini.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, Malaysia bersetuju untuk menyertai pelan peruntukan vaksin Covid-19 global, Covax, walaupun perlu membayar RM42 juta.

Beliau berkata, badan ini mempunyai kemudahan kepada negara ahli untuk dapatkan vaksin yang tidak terhad untuk Covid-19 saja namun vaksin penyakit lain.

"Vaksin yang dapat dibekalkan hanya 10 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk dan dalam kes Malaysia yang mempunyai 30 juta penduduk akan menerima tiga juta vaksin.

"Kita juga terikat untuk membeli vaksin dari Covax ini dengan nilai RM600 juta dan ia satu jumlah yang cukup besar tapi tidak halang kita mendapat bekalan dari pembekal luar seperti China dan negara pembekal lain," katanya.

Katanya, Malaysia akan mengadakan rundingan mengenai harga yang perlu dibayar kepada Covax kerana kini harga untuk satu vaksin sudah ditetapkan pada harga dolar Amerika $20 (kira-kira RM82).

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga akan berbincang dengan syarikat pembekal luar bagi membekal vaksin untuk Malaysia.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 13, 2020 @ 6:04pm
    d