mutakhir

Rezeki mesin taip [METROTV]

Oleh Zaid Salim

Marang: "Mesin taip ini ibarat nyawa saya dan banyak jasanya kepada keluarga. Saya besarkan anak-anak hasil daripada mesin taip ini," kata Keseri Mokhtar, 62, dari Kampung Bukit Kulim, Jerung, di sini.

Bapa kepada enam anak itu berkata, sebagai penulis berlesen, mesin taip adalah satu keperluan yang perlu ada.

"Sebab itu saya sentiasa menjaga alat ini supaya sentiasa berada dalam keadaan baik kerana ini punca rezeki saya.

"Kalau rosak, saya tak tahu nak buat kerja apa, sebab dengan fizikal tubuh saya, kerja ini saja yang mampu saya buat sejak 22 tahun lalu," katanya ketika ditemui sedang melayani pelanggan di perkarangan Pejabat Daerah dan Tanah Marang, di sini, hari ini.

Keseri yang berstatus orang kurang upaya (OKU) kenit itu berkata, hasil kerja itu, dia mampu memperoleh pendapatan sekitar RM1,500 sebulan.

Mengakui pendapatan itu kecil bagi menyara kehidupan keluarga termasuk empat anak yang masih bersekolah, namun berkat prinsip bersyukur dengan rezeki yang ada menyebabkan keluarga berkenaan hidup bahagia.

"Kita kena pandai menguruskan perbelanjaan. Berbelanja mengikut keperluan kerana kalau gaji besar tapi tidak tahu menguruskan duit, tidak cukup juga," katanya yang menjadikan bonet Perodua Kancil miliknya sebagai tempat bekerja.

Menurutnya, dia menawarkan perkhidmatan tukar hak milik tanah dengan bayaran upah sebanyak antara RM100 hingga RM150 bergantung kepada urusan yang dilakukan dari awal hingga selesai proses tukar hak milik.

Dia berkata, perkhidmatan penulis berlesen kurang mendapat sambutan berbanding dulu dan kini hanya kira-kira 30 peratus saja yang menggunakan perkhidmatan itu.

Sebagai menampung pendapatan keluarga, dia memohon bantuan mesin jahit daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kira-kira 10 tahun lalu untuk kegunaan isteri, Rahani Harun, 42, mengambil upah menjahit pakaian.

"Dengan mesin jahit ini, hasil upah yang isteri dapat, walaupun sedikit cukup untuk menampung perbelanjaan keluarga," katanya.

Disiarkan pada: October 13, 2020 @ 10:58pm
d