mutakhir

Anwar malukan diri sendiri

Oleh Zaid Salim

Kuala Terengganu: "Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecewakan seluruh penyokong sendiri, negara sementelah lagi," kata Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, sebelum ini beliau dalam satu sidang media mendakwa menyerahkan butiran lengkap sokongan yang diperoleh seperti akuan bersumpah daripada Ahli Parlimen kepada istana negara.

Bagaimanapun, hari ini, Istana Negara memaklumkan cuma dimaklumkan angka tanpa sebarang senarai nama Ahli Parlimen atau bukti berkaitan.

"Ahli Parlimen Port Dickson hari ini sudah memalukan dirinya sendiri dan akur dengan nasihat oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kegagalan itu menjadikan Anwar semakin tidak relevan.

Katanya, mungkin sudah tiba masanya Anwar memikirkan untuk mengundurkan diri dan melupakan impian untuk menjadi Perdana Menteri.

Ahmad Amzad berkata, Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN) terus komited mendokong kerajaan yang ada sekarang.

Katanya, tumpuan sekarang adalah bekerja keras untuk memperbaiki kesejahteraan rakyat dan negara.

Disiarkan pada: October 14, 2020 @ 12:07am
d