mutakhir

Jangan jadi tali barut [METROTV]

Oleh Siti Rohana Idris

Tumpat: Lebih 100 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan di daerah ini dalam tempoh beberapa bulan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Ab Rashid Mat Daud berkata, bilangan itu termasuk tekong darat yang terdiri daripada warga tempatan yang membawa masuk PATI menerusi lorong tikus dan pangkalan haram.

Beliau berkata walau kawalan dan rondaan sering dilakukan pihak berkuasa di sepanjang sempadan Tumpat dan Thailand, kemasukan PATI masih berlaku dengan adanya pembabitan daripada rakyat tempatan sendiri yang boleh diibaratkan sebagai pengkhianat.

"Pembabitan rakyat tempatan sebagai ejen atau tekong darat bukan sahaja salah dari segi undang-undang tapi kemasukan PATI dalam tempoh pandemik Covid-19 ini juga mengundang kepada penularan wabak berkenaan.

"Selain itu ia juga boleh mewujudkan masalah sosial dan kami menasihatkan orang ramai tidak menjadi tali barut terbabit dengan isu sebegini kerana tindakan yang tegas akan dikenakan," katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Beliau berkata, bukan sahaja PATI, barang terlarang lain termasuk dadah yang diseludup masuk melalui Sungai Golok juga diberi fokus dan hasilnya beberapa siri rampasan sudah dibuat oleh beberapa agensi penguatkuasaan.

Terdahulu Ab Rashid hadir dalam Op Bersepadu Covid-19 di Pasar Wakaf Bharu bersama beberapa wakil daripada agensi berkaitan iaitu Pejabat Penerangan Tumpat, Pejabat Kesihatan Daerah dan Majlis Daerah Tumpat.

Beliau berkata, sepanjang tempoh PKPP berlangsung, sebanyak 70 kompaun sudah dikeluarkan kepada orang ramai yang ingkar terhadap prosedur operasi standard (SOP) di sekitar daerah ini.

Menurutnya lagi, biasanya tiada alasan yang diberikan oleh orang ramai yang tidak memakai pelitup muka selain memang disengajakan.

"Selain pemeriksaan suhu di premis dan penjarakan sosial, pemakaian pelitup muka memang kami utamakan dan setakat ini kepatuhan terhadap SOP memuaskan.

"Anggota kami sentiasa menjalankan pemeriksaan di lokasi awam termasuk pasar dan pasar raya yang menjadi tumpuan orang ramai bagi memastikan tahap pematuhan terhadap SOP tidak diabaikan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 14, 2020 @ 2:01pm
    d