mutakhir

Ramai murid sekolah agama tak hadir

Oleh Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Penurunan ketara jumlah kehadiran murid di sekolah agama di sekitar Pasir Gudang, dekat sini, direkodkan sejak beberapa hari lalu susulan kebimbangan ibu bapa mengenai penularan wabak Covid-19 di kawasan berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Tosrin Jarvanthi berkata, ia susulan terdapat kes positif Covid-19 di sebuah sekolah rendah di Masai, Pasir Gudang yang disahkan Kementerian Kesihatan (KKM), sekali gus membawa kepada arahan penutupan sementara sekolah itu.

Beliau berkata, susulan kes itu sebuah sekolah agama berhampiran sekolah berkenaan di Masai dinasihatkan mengambil langkah menutup sekolah itu sebagai langkah berjaga-jaga.

"Setakat ini hanya sebuah sekolah agama sahaja ditutup iaitu Sekolah Agama As-Syakirin, Masai di Pasir Gudang.

"Keputusan penutupan sekolah agama lain di Masai serta Pasir Gudang akan bergantung kepada pengesanan kes positif Covid-19 dalam masa terdekat di kawasan berkenaan.

"Jika terdapat lagi kes positif dikesan di kawasan berkenaan, tindakan akan diambil termasuk menutup sementara sekolah di kawasan berisiko selain kita bersedia meminta murid, guru dan pegawai melakukan ujian pengesanan Covid-19 untuk pastikan mereka berada dalam keadaan selamat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di pejabat terbukanya di tapak pasar tani Jalan Kenari, Bandar Putra, Kulai, semalam.

Semalam, Jabatan Kesihatan Negeri Johor melaporkan di akaun Facebooknya, Johor terus mencatatkan peningkatan kes Covid-19 kepada 10 kes, sekali gus menjadikan 55 kes aktif virus berkenaan di negeri itu, setakat ini.

Pertambahan itu membabitkan enam kawasan iaitu di Plentong, Sungai Tiram, Tebrau di Johor Bahru, Benut di Pontian selain mukim Simpang Kanan dan Simpang Kiri di Batu Pahat.

"Daripada 10 kes baharu itu, lima adalah saringan kontak rapat, empat daripada saringan kluster sedia ada manakala satu membabitkan saringan pulang daripada berisiko tinggi.

"Oleh itu, kes kebolehjangkitan di Johor sehingga hari ini adalah 55 kes," lapor kenyataan itu.

Sehingga kini, terdapat lima kawasan dikategorikan sebagai zon kuning iaitu Linau di Batu Pahat dan empat lagi di Johor Bahru iaitu Bandar, Plentong, Pulai dan Tebrau.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 14, 2020 @ 2:24pm
    d