mutakhir

Saringan Covid-19 berperingkat di Penjara Seberang Perai

Oleh Nur Izzati Mohamad

Nibong Tebal: Semua banduan di Penjara Seberang Perai, di sini akan menjalani ujian saringan secara berperingkat selepas tiga banduan yang dimasukkan ke penjara itu sejak dua minggu lalu disahkan positif Covid-19.

Ketika ini, kira-kira 200 sampel sudah diambil petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan proses itu akan berlanjutan sehingga semuanya selesai.

Pengarah Penjara Pulau Pinang Roslan Mohamed, berkata, Penjara Seberang Perai menempatkan lebih 2,000 banduan yang kesemuanya akan menjalani ujian saringan Covid-19 secara berperingkat.

"Susulan kejadian tiga banduan positif Covid-19, pihak kita memohon KKM supaya menjalankan ujian saringan terhadap semua banduan sebagai langkah keselamatan awal untuk mencegah penularan wabak Covid-19.

"Pada masa sama dapat mengasingkan serta kuarantin mereka yang dijangkiti dengan segera," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Semalam, KKM memaklumkan terdapat satu kluster baharu iaitu Kluster Penjara Jawi selepas tiga banduan di situ dikesan positif Covid-19.

Tiga banduan itu pada mulanya ditempatkan di Penjara Reman Pulau Pinang dan dimasukkan ke Penjara Seberang Perai sejak dua minggu lalu selepas dijatuhkan hukuman di mahkamah.

Bagaimanapun, mereka bertiga diasingkan di blok lain dan tidak bercampur dengan banduan lama seperti prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Jabatan Penjara.

Dalam pada itu, Roslan berkata, ujian saringan Covid-19 terhadap kakitangan penjara berkenaan termasuk mereka yang menjadi kontak rapat banduan yang disahkan positif Covid-19 juga sudah selesai dijalankan oleh pihak KKM.

"Setakat ini ujian saringan ke atas petugas sudah selesai dan kita masih menunggu keputusannya.

"Tiga banduan yang disahkan positif Covid-19 semalam juga sudah diasingkan serta dikuarantin di blok transit yang jauh daripada blok banduan lain.

"Blok transit ini sudah lama kosong dan banduan yang didapati positif Covid-19 kita tempatkan di situ bagi menjalani rawatan yang mana keadaan mereka stabil dan keadaan di dalam penjara juga terkawal," katanya.

Sehingga kini, sebanyak 160 kes positif Covid-19 direkodkan bagi Kluster Penjara Reman Pulau Pinang.

Kes pertama tercetus membabitkan seorang lelaki warga emas yang meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang (HPP) selepas dia ditemui tidak sedarkan diri di penjara dan disahkan positif Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 14, 2020 @ 2:55pm
    d