mutakhir

IABCU dijadikan pusat kuarantin bekas tahanan

Oleh M Hifzuddin Ikhsan

Alor Setar: Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara (IABCU) Jitra akan dijadikan Pusat Kuarantin Khas bagi bekas tahanan reman dan banduan yang dibebaskan dari Penjara Alor Setar serta Pokok Sena.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, Jabatan Penjara memaklumkan setiap hari terdapat kira-kira 20 tahanan reman dan banduan dibebaskan dan perlu menjalani proses kuarantin.

Katanya, berikutan itu kerajaan negeri menyediakan peruntukan RM100,000 bagi menampung kos penyediaan tempat kuarantin, kebajikan dan makanan mereka sepanjang tempoh dua minggu.

"Ada kes yang mana bekas tahanan reman selepas dibebaskan pulang ke kampung dan tidak menjalani kuarantin rumah sehingga kes Covid-19 dari Kluster Tembok tersebar ke luar penjara.

"Mungkin terlalu lama di dalam penjara menyebabkan bekas tahanan reman ini berjalan ke rumah saudara mara sehingga menyebabkan jangkitan ke atas enam individu lain di Baling," katanya pada sidang di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, IABCU mampu menampung sehingga 100 individu pada suatu masa dan sekiranya terdapat keperluan, pusat lain boleh dibuka bagi menampung bekas tahanan berkenaan.

"Kita akan lihat kapasiti IABCU, jika perlu kerajaan negeri boleh buka pusat kuarantin khas ini di tempat lain seperti di beberapa hotel yang pernah diwartakan sebelum ini.

"Pusat ini akan diletak di bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Kedah, Jabatan Kesihatan dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bagi menguruskannya," katanya.

Setakat semalam, seramai 1,195 banduan positif Covid-19 masih dirawat di Pusat Rawatan Khas dalam penjara dan bagi yang kritikal dihantar bagi menjalani rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

Sementara itu, Muhammad Sanusi berkata, tiga Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) iaitu Exco Kerja Raya, Datuk Suraya Yaacob; Exco Belia dan Sukan, Mohd Firdaus Ahmad dan Exco Perumahan, Dr Robert Ling Kui Ee disahkan bebas Covid-19.

"Semua Exco ini sudah menjalani kuarantin di rumah dan keputusan menunjukkan mereka negatif Covid-19 serta sudah menghadiri mesyuarat Exco hari ini.

"Keadaan seorang lagi Exco, pembantu dan ahli keluarganya yang positif Covid-19 sebelum ini juga stabil, namun masih dirawat di HSB," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 14, 2020 @ 4:41pm
    d