mutakhir

'Sudah tak larat dihurung lalat' [METROTV]

Oleh Balqis Jazimah Zahari

Batu Gajah: Lebih 3,000 penduduk di tiga kampung di sini. terpaksa menanggung azab dan hidup dalam keadaan tidak selesa akibat dihurung lalat dipercayai berpunca dari ladang ternakan ayam berhampiran.

Ladang yang menempatkan kira-kira 20 kandang ayam itu berada tidak sampai satu kilometer dari kawasan perumahan di Kampung Kinta Valley di Jalan Tanjung Tualang itu turut memberi kesan kepada dua lagi kampung berhampiran iaitu Rancangan Perumahan Tersusun (RPT) Batu 6 dan Kampung Chenderong.

Penduduk Kampung Kinta Valley, P Vignaswaran, 33, berkata, lalat yang terlalu banyak menyebabkan anaknya, V Herisshwaran, 2, terpaksa menanggung kesakitan selepas telinganya dimasuki serangga itu.

"Minggu lalu, anak saya menangis kuat pada sebelah malam dan saya perasan dia berada dalam keadaan menahan sakit.

"Selepas pemeriksaan di beberapa hospital, didapati telinga anak dimasuki lalat dan sudah mati di dalam telinga, lalat punya pasal anak saya sakit," katanya ketika ditemui selepas tinjauan di lokasi berkenaan hari ini.

Tinjauan turut disertai Ketua Urusetia Pusat Khidmat dan Aduan Barisan Nasional (BN) Perak Mohd Rawi Abdullah.

Menurutnya, dia yang hanya bekerja sebagai pemandu lori terpaksa menanggung kos rawatan dan ubat-ubatan sebanyak RM800, selain kos rawatan susulan sebanyak RM400 setiap dua minggu sekali.

Katanya, dia sudah menghantar surat aduan ke beberapa pihak tetapi masing-masing seakan-akan lepas tangan dan main tarik tali dengan masalah yang melanda penduduk.

Penduduk dari kampung sama, A Veerapantty, 49, pula berkata, dia berdepan kesukaran tidur terutama pada sebelah siang kerana dihurung lalat.

"Kami sekarang tidak perlu menetapkan jam loceng untuk bangun tidur kerana lalat boleh 'mengejutkan' kami...sudah lama penduduk menderita, hendak makan pun susah, kawanan lalat sentiasa menghurung," katanya.

Sementara itu, penduduk Kampung Tersusun Batu 6, Hussin Dahaban, 71, berkata, situasi itu sudah melanda sejak beberapa tahun lalu, namun keadaan semakin buruk sejak enam bulan lalu.

"Lalat asyik hendak masuk ke dalam hidung, mata dan telinga, kalau nak makan atau minum langsung tak boleh leka.

"Kita tidak menghalang penternakan ayam itu tetapi harap ada penyelesaian kepada semua masalah yang berlaku ini," katanya.

Sementara itu, Mohd Rawi berkata, pihaknya mengharapkan campur tangan kerajaan negeri dalam menyelesaikan masalah penduduk yang sudah lama berlarutan dengan secepat mungkin.

"Berdasarkan maklumat yang diperoleh setakat ini, kandang itu mempunyai lesen dan sudah dilawati oleh pihak kesihatan sebelum ini," katanya.

Disiarkan pada: October 14, 2020 @ 4:44pm
d