mutakhir

Petugas hospital medan di Tawau terbang Sabtu ini

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Petugas kesihatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan kelengkapan bagi Hospital Medan di Tawau akan berlepas pada Sabtu ini.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, seramai 12 pegawai dan 60 anggota sokongan perubatan di bawah Kor Kesihatan Diraja (KKD) bertugas di hospital berkenaan selama tiga bulan.

Katanya, ia termasuklah enam pakar perubatan, empat pegawai perubatan, seorang pegawai farmasi, seorang pegawai tadbir hospital dan 62 anggota paramedik dan elemen sokongan.

"Mereka akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan diletakkan di bawah pengurusan Hospital Tawau.

"Pada peringkat awal, Hospital Medan yang akan beroperasi di Kompleks Sukan Tawau mempunyai kapasiti 100 katil termasuk empat katil Unit Rawatan Rapi (ICU) bagi rawatan khusus kepada kes selain Covid-19," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, keupayaan hospital itu juga boleh dipertingkatkan pada bila-bila masa termasuk dewan bedah dan High Dependancy Unit.

Affendi berkata, perkhidmatan kesihatan ATM juga terbabit secara langsung dalam pewujudan pusat rawatan sementara Covid-19 di Penjara Pokok Sena di Kedah bagi merawat banduan positif.

"Ia bertujuan mengurangkan risiko penularan wabak ini kepada komuniti sekiranya banyak pergerakan keluar masuk pesakit Covid-19 dalam kalangan banduan berkenaan," katanya.

Dalam pada itu, 1,780 anggota membabitkan Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ditempatkan membantu pihak berkuasa dalam penugasan sekatan jalan raya (SJR) dan rondaan menerusi Operasi Penawar (Op Penawar).

Seramai 621 anggota ditempatkan di tiga kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) iaitu 396 orang di Selangor dan 225 orang di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta Putrajaya.

"Di kawasan PKPB dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersyarat (PKPDB) Sabah, seramai 165 anggota digerakkan membabitkan kawasan di Tawau, Semporna, Tambunan, Keningau dan Lahad Datu.

"Di Kedah pula, ATM mengatur gerak seramai 73 anggota yang tertumpu kepada penugasan SJR, rondaan MPV serta kawalan keselamatan di sekitar kawsan Penjara Pokok Sena.

"Semua penugasan di seluruh negara turut membabitkan rondaan pematuhan di lokasi tumpuan awam seperti pasar umum, premis perniagaan dan pasar raya.

"Bantuan penugasan ini diaturgerakkan mengikut penugasan semasa dan akan ditambah mengikut keperluan dari semasa ke semasa," katanya.

Selain itu, TUDM melaksanakan penerbangan menggunakan pesawat angkut jenis C130H pada 12 Oktober lalu bagi membawa peralatan perubatan, peralatan perlindungan diri (PPE) dan sampel ujian Covid-19 dari Sabah serta Labuan bagi menampung keperluan pusat kesihatan di negeri itu.

Ia dilakukan dengan kerjasama KKM dan akan dilaksana dari semasa ke semasa tertakluk keperluan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 14, 2020 @ 5:56pm
    d