mutakhir

Sarawak perketat kawalan sempadan Sabah

Oleh Mohd Roji Kawi

Petra Jaya: Kawalan sempadan di Sarawak diperketatkan berikutan peningkatan kes Covid-19 khususnya di negeri jiran, Sabah.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, langkah memperketatkan kawalan itu dicapai pada mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, hari ini.

Beliau berkata, susulan keputusan itu, pergerakan melalui sempadan di Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Merapok di Lawas dan Sidumin di Sipitang, Sabah perlu diperketatkan.

"Pasukan keselamatan akan menambah bilangan anggota dan kawalan diperketatkan termasuk di jalan tikus.

"Kawalan dan rondaan yang lebih ketat dan kerap juga akan dipertingkatkan di sempadan Sarawak dan Kalimantan, Indonesia," katanya.

Beliau yang juga Pengerusi JPBN Sarawak berkata demikian pada sidang media harian perkembangan Covid-19 Sarawak, hari ini.

Uggah berkata, langkah itu perlu apabila semakin banyak kes positif Covid-19 di Sarawak membabitkan individu yang mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah.

Beliau berkata, hari ini tiga kes positif Covid-19 direkodkan menjadikan keseluruhan kes di Sarawak sejak Mac lalu, kini berjumlah 755.

"Ketiga-tiga kes hari ini membabitkan individu yang datang dari Sabah dengan yang pertama, seorang lelaki tempatan yang mempunyai sejarah perjalanan dari Kota Kinabalu, Sabah dan singgah di Labuan sebelum tiba di Lapangan Terbang Miri pada 9 Oktober.

"Kes kedua hari ini pula membabitkan seorang pelajar yang mempunyai sejarah perjalanan ke Kinarut, Sabah pada 25 September.

"Kes ketiga pula membabitkan seorang pelajar perempuan di sebuah sekolah agama di Kimanis, Sabah yang pulang ke Lawas, berikutan arahan penutupan sekolah di Sabah semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 14, 2020 @ 5:58pm
    d