mutakhir

Rentas ratusan kilometer hantar ketum ke Kelantan

Oleh Mohd Rashidi Yusuf

Gerik: Tindakan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) berpatah balik sebelum sekatan jalan raya (SJR) Sungai Lebey, di Kilometer 9, Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik - Jeli, di sini, semalam membongkar kegiatan dua individu menyeludup ketum dari Kedah ke Kelantan.

Dalam kejadian 4.10 pagi itu, seorang lelaki dan wanita masing-masing berusia 30 dan 32 tahun ditahan, manakala 1,060 kilogram daun tumbuhan disyaki ketum bernilai RM10,600 dirampas.

Lelaki yang ditahan turut mempunyai satu kesalahan lampau berkaitan dadah.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood berkata, kenderaan Nissan Urban dinaiki kedua-dua suspek ditahan berhampiran JPJ Timbang di Bandariang dekat sini, selepas diekori pihak polis dari SJR Sungai Lebey, selepas didapati berpatah balik sebelum sekatan berkenaan.

"Kedua-dua suspek yang bukan pasangan suami isteri itu dipercayai dalam perjalanan dari Kedah ke Kelantan untuk menghantar daun ketum.

"Pemeriksaan lanjut menemui 106 bungkusan plastik hitam berisi daun tumbuhan disyaki daun ketum dianggarkan seberat 1,060 kilogram di bahagian tempat duduk penumpang belakang kenderaan itu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis (IPD) Gerik, hari ini.

Zulkifli berkata, mereka dipercayai terbabit dalam kegiatan itu sejak September lalu dengan kekerapan penghantaran dua kali sebulan.

Menurutnya, pasangan itu yang tinggal di Kedah juga menggunakan kenderaan sewaan berlainan serta jumlah penghantaran berbeza setiap perjalanan.

"Mereka juga disyaki bergerak dari Kedah bersama tonto bagi memastikan keadaan selamat, terutama bagi mengelakkan kenderaan peronda polis dan sekatan jalan raya.

"Mereka biasanya bergerak antara 12 tengah malam hingga 5 pagi bagi mengelak dikesan pihak berkuasa," katanya.

Zulkifli berkata, mereka mendapat bekalan dari Naka, Padang Terap dengan harga RM8 sekilogram dan menjualnya di Tanah Merah, Kelantan dengan harga tiga kali ganda lebih tinggi iaitu RM25 sekilogram.

Menurutnya, pemandu diberi upah sebanyak RM500 bagi setiap perjalanan, manakala penumpang (mastermind) pula berdasarkan 50 peratus daripada keuntungan.

"Hasil ujian air kencing mendapati kedua-duanya positif methamphetamine.

"Kedua-dua saspek kini direman empat hari sehingga 17 Oktober untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952," katanya.

Beliau berkata, jika disabit dengan kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi empat tahun atau kedua-duanya sekali.

Disiarkan pada: October 14, 2020 @ 7:03pm
d