mutakhir

Bekas pesakit Covid-19 mohon tampil bantu kajian

Oleh Suraya Roslan dan Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Bekas pesakit Covid-19 diperlukan bagi membantu kajian mengenai tindak balas antibodi neutralisasi dalam kalangan pesakit Covid-19 di Malaysia, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, laporan kajian yang dijalankan sebelum ini mendapati antibodi pesakit yang sudah pulih merosot dan hanya bertahan selama tiga bulan.

"Kajian yang dilakukan kepada satu kumpulan daripada Kluster Sungai Lui mendapati antibodi pesakit semakin berkurangan selepas lapan minggu.

"Jadi kita perlukan lebih ramai pesakit tampil ke depan supaya kita dapat menggunakan darah mereka untuk melihat kepada kekalan antibodi dalam tubuh seseorang itu sama ada akan merosot selepas tiga bulan atau tidak.

"Jika antibodi merosot selepas tiga bulan, mungkin pesakit boleh dijangkiti semula," katanya dalam sidang media secara maya yang disiarkan di Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), hari ini.

Semalam, Dr Noor Hisham menerusi Facebook rasminya menjemput bekas pesakit Covid-19 menyertai penyelidikan yang dijalankan penyelidik di Institut Penyelidikan Perubatan (IMR).

Penyelidikan bertajuk Kajian Membujur (Longitudinal Study) tindak balas antibodi neutralisasi di kalangan pesakit Covid-19 di Malaysia itu bertujuan mengetahui paras antibodi neutralisasi (imuniti) di dalam darah yang boleh menghalang kuman Covid-19 daripada menjangkiti pesakit yang pernah dijangkiti sebelum ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kajian berkenaan juga memerlukan penyelidikan khusus mengenai sejarah dan pengalaman pesakit melalui rawatan.

Katanya, antara lain adalah mengenai kesan kepada organ tertentu bekas pesakit sama ada mempunyai kesan sampingan atau kesan jangka panjang.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 14, 2020 @ 7:54pm
    d