mutakhir

9,080 notis saman terhadap kenderaan perdagangan

Oleh Mohd Rafi Mamat

Kuantan: Polis mengeluarkan sebanyak 9,080 notis saman ke atas kenderaan perdagangan dalam Ops Bersepadu Khas Kenderaan Perdagangan seluruh negara sepanjang enam bulan tahun ini.

Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasaan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Superintendan Dr Bakri Zainal Abidin berkata, notis saman yang dikeluarkan itu membabitkan kesalahan membawa muatan secara bahaya terutama membabitkan lori balak.

"Dalam tempoh Januari hingga Jun tahun ini, kita mengadakan 149 operasi ke atas kenderaan perdagangan seluruh negara dan mengeluarkan sebanyak 9,080 notis saman.

"Jumlah berkenaan dilihat sedikit berkurangan berbanding sebanyak 2,852 operasi yang diadakan dalam tempoh sama tahun lalu," katanya selepas selesai menjalankan Op Bersepadu Khas Kenderaan Perdagangan bersama agensi luar di Jalan Gambang, di sini semalam.

Operasi berkenaan disertai 15 pegawai dan 55 anggota daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP).

Bakri berkata sebanyak 40 notis saman dikeluarkan ke atas kenderaan perdagangan, 136 notis saman membabitkan pelbagai kesalahan lalu lintas lain sekitar daerah ini.

Katanya, antara kesalahan bagi kenderaan persendirian yang dikesan ialah menggunakan telefon bimbit ketika memandu, membawa muatan menyalahi lesen kenderaan dan tidak memakai tali pinggan keledar.

"Orang ramai diminta menyalurkan aduan atau laporan kepada pihak berkuasa sekiranya melihat kenderaan perdagangan membawa muatan secara berlebihan hingga mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya lain.

"Kerjasama orang ramai dapat membantu pihak berkuasa memastikan pengguna jalan raya khususnya kenderaan perdagangan sentiasa mengikut peraturan lalu lintas yang sedia ada.

"Ia juga secara tidak langsung dapat mengurangkan kadar kemalangan jalan raya membabitkan kenderaan perdagangan," katanya.

Disiarkan pada: October 15, 2020 @ 11:06am
d