mutakhir

Didakwa cederakan kucing jiran [METROTV]

Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim

Kota Bharu: Seorang warga emas didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan mencederakan seekor kucing milik jirannya.

Tertuduh, Ab Hamid Ismail, 70, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Shahrul Rizal Majid.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Sharif Sabran dan tertuduh diwakili peguam Rozihan Othman.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menyebabkan kesakitan tidak sepatutnya terhadap seekor kucing milik Nur Amalin Aishah Ariffin pada 17 Ogos lalu pada 10.30 malam di Lorong Raja Abdullah, Jalan Pintu Gang, dekat sini.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772).

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda tidak kurang RM20,000 dan tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, pendakwaan menawarkan jaminan RM5,000 terhadap tertuduh bagaimanapun Ab Hamid melalui peguamnya memohon jaminan rendah berikutan sudah berusia dan tidak bekerja.

Mahkamah menetapkan wang jaminan sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin dan 22 November depan bagi proses serahan dokumen.

Disiarkan pada: October 15, 2020 @ 11:27am
d