mutakhir

Murid tahun 1, 2 SK Permatang Janggus kembali ke sekolah

Oleh Nur Izzati Mohamad

Kepala Batas: Selepas 14 hari menjalani kuarantin kendiri di rumah, semua murid tahun satu dan dua Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Janggus, Penaga di sini kembali memulakan sesi persekolahan hari ini.

Sebelum ini, kesemua murid berkenaan dikuarantin selepas ujian saringan Covid-19 apabila seorang guru sekolah terbabit positif akibat dijangkiti dari suaminya yang pulang dari Sabah.

Bagaimanapun, keputusan ujian mendapati kesemua murid yang menjadi kontak rapat kepada guru wanita berkenaan negatif dan mereka bebas dari virus terbabit.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Zainal Abidin Omar berkata, beliau berharap ibu bapa dapat memberi galakan kepada kepada anak-anak untuk hadir ke sekolah kerana guru sedang berusaha untuk menghabiskan sukatan pelajaran bagi peperiksaan akhir tahun ini.

"Jangan bimbang kawasan sekolah, kelas serta tempat berisiko sudah dinyahkuman sebanyak dua kali oleh Jabatan kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP).

"Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19 tidak pernah diabaikan dan akan terus diperketatkan oleh pihak sekolah.

"Ibu bapa diharap dapat membantu untuk membendung gejala ini dengan selalu mengingatkan anak-anak supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19" katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Pada 1 Oktober lalu sekolah terbabit diarah tutup selama lapan hari bagi memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19.

Jumaat lalu, murid tahun tiga hingga enam sudah memulakan sesi persekolahan manakala murid tahun satu dan dua perlu menjalani tempoh kuarantin hingga selesai.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 15, 2020 @ 1:37pm
    d