mutakhir

2 beradik positif Covid-19

Oleh Hassan Omar

Alor Gajah: Sekolah Kebangsaan Telok Berembang (SKTB) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Lubok Cina (SMKLC), dekat sini ditutup selama tujuh hari mulai hari ini, berikutan dua beradik dikesan positif Covid-19.

Arahan itu dikeluarkan Pengarah Jabatan Pendidikan Melaka, Dr Mohd Azam Ahmad selepas murid lelaki tahun enam di SKTB dan abangnya dalam tingkatan dua SMKLC disahkan positif Covid-19.

Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, kedua-dua kes berkenaan adalah kes di Negeri Sembilan dan mereka dirawat di Hospital Seremban.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan Jabatan Pendidikan negeri, murid tahun enam berkenaan tinggal di sebuah kampung di Lubok Cina, Rembau Negeri Sembilan yang bersempadan dengan Lubok Cina di daerah Alor Gajah.

Murid terbabit bersama-sama lapan anggota keluarganya disahkan positif Covid-19 pada jam 5 petang semalam dan mereka sudah dibawa ke Hospital Seremban," katanya.

Siasatan mendapati murid terbabit mempunyai kontak rapat dengan ibu saudaranya yang positif Covid-19 dan baharu pulang dari Labuan.

Abang murid terbabit yang belajar dalam tingkatan dua di SMKLC juga disahkan positif Covid-19 kerana mempunyai kontak rapat dengan wanita terbabit.

Pelajar berkenaan hadir di sekolah itu pada 5 hingga 7 Oktober lalu dan tidak hadir mulai 8 Oktober.

Rahmad berkata, Pejabat Kesihatan Daerah Alor Gajah sudah diarahkan supaya segera mengesan kontak rapat murid dan pelajar terbabit bagi menjalani proses saringan.

"Pejabat berkenaan sudah dimaklumkan untuk mengambil tindakan siasatan ke sekolah, pengesanan kontak dalam kalangan pelajar dan guru serta pekerja sekolah.

"Kerja saringan akan dilakukan, termasuk disinfeksi sekolah oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 15, 2020 @ 3:14pm
    d