mutakhir

Ditahan pindah minyak tanpa kebenaran

Oleh Nurul Amanina Suhaini

Kota Tinggi: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Johor menggagalkan cubaan tiga kapal dipercayai melakukan aktiviti pemindahan minyak tanpa kebenaran di perairan Tanjung Sedili, dekat sini, malam tadi.

Pengarah APMM Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, Zon Maritim Tanjung Sedili menerima aduan daripada komuniti maritim setempat mengenai aktiviti 'ship to ship' (STS) mencurigakan terdiri daripada kapal jenis Very Large Crude Carrier (VLCC), kapal tangki dan 'service/supply boat' (kategori kapal).

Beliau berkata, pihaknya yang menjalankan Op Jaksa mengesan tiga kapal terbabit yang merapat antara satu sama lain di kedudukan 14 batu nautika Timur Tanjung Sedili Besar, pada 7 malam.

"Pemeriksaan lanjut mendapati VLCC sedang memindahkan kargo minyak kepada sebuah kapal tangki, selain kedua-dua kapal berkenaan gagal mengemukakan sebarang kebenaran atas aktiviti dijalankan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 491B(1)(K) Ordinan Perkapalan Saudagar (OPS) 1952 kerana menjalankan aktiviti STS tanpa kebenaran, selain Seksyen 491B(1)(L) OPS 1952 kerana berlabuh tunggu tanpa kebenaran Pengarah Laut dan Seksyen 474 OPS 1952 kerana menjalankan perkhidmatan tanpa kebenaran.

"Kes turut disiasat mengikut Akta Kastam 1967, Akta Kemajuan Petroleum 1974, Akta Petroleum (Langkah-langkah Keselamatan) 1984 dan Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Nurul Hizam berkata, VLCC sepanjang 333 meter yang berdaftar di Comoros, Afrika Timur itu dikendalikan 20 kru termasuk nakhoda merangkumi 19 lelaki warga India dan seorang lelaki warga Pakistan.

Katanya, kapal tangki pula didaftarkan di Labuan, Malaysia, dikendalikan 24 kru termasuk nakhoda dengan 15 lelaki warga India, lima lelaki warga Ukraine dan tiga lelaki warga Rusia, manakala 'service/supply boat' yang berdaftar di Indonesia dikendalikan lapan kru dan nakhoda yang semuanya lelaki warga Indonesia.

Disiarkan pada: October 15, 2020 @ 5:23pm
d