mutakhir

10 premis dikompaun gagal sedia aplikasi MySejahtera

Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Taiping: Gagal menyediakan aplikasi MySejahtera di premis, selain tidak mengambil suhu badan pelanggan menyebabkan 10 pemilik premis sekitar bandar ini dikompaun dalam operasi bermula 6 Oktober lalu sehingga semalam.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, secara keseluruhan sebanyak 43 individu dikompaun mengikut Peraturan 10, Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) (No 7) 2020 bagi tempoh itu.

Katanya, operasi dikendalikan Pasukan Bertindak Covid-19 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping itu turut mensasarkan pelanggan yang gagal merekodkan kehadiran dan tidak mengambil suhu badan ketika berkunjung ke premis terbabit.

Katanya, tindakan itu dibuat susulan kes positif Covid-19 yang dicatatkan di daerah Larut Matang dan Selama sejak kemunculan Kluster Batu di sebuah kem tahanan di Kamunting, di sini, pada 5 Oktober lalu.

"Bagi tempoh berkenaan, 10 kompaun dikeluarkan kepada pemilik premis, selain satu kompaun dikeluarkan kepada pekerja premis, sementara selebihnya iaitu 32 kompaun dikeluarkan terhadap orang perseorangan.

"Dalam tempoh sama, 15 individu turut ditangkap tanpa dikenakan kompaun kerana melanggar perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah kediaman bagi kontak jangkitan Covid-19 iaitu mengikut Seksyen 15 (1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (AKTA 342)," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sementara itu, Osman berkata, secara keseluruhan sebanyak 563 kompaun dikeluarkan IPD Taiping melalui kerjasama pihak Pejabat Kesihatan Daerah sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa pada 18 Mac lalu sehingga semalam.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 15, 2020 @ 6:00pm
    d