mutakhir

Covid-19: Kluster Utama catat 105 kes baharu [METROTV]

Oleh Suraya Roslan dan Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Kluster Utama mencatatkan 105 kes baharu Covid-19 hari ini menjadikan kes kumulatif pesakit positif seramai 132 orang.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster itu mula dilaporkan pada 10 Oktober lalu membabitkan daerah Gombak, Petaling dan Hulu Langat di Selangor serta Alor Gajah, Melaka.

"Seramai 131 individu dilaporkan positif di Selangor, manakala satu di Melaka membabitkan 107 warga asing dan 25 warganegara Malaysia.

"Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-15,023) adalah lelaki warga Nepal berusia 28 tahun yang juga pengawal keselamatan di sebuah pusat beli-belah di Petaling.

"Mangsa mula mengalami gejala demam, batuk dan selsema sejak 22 September dan disahkan positif Covid-19 pada 8 Oktober melalui saringan kontak rapat dan dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan," katanya dalam sidang media hariannya hari ini.

Menurutnya, sebelum ini Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesyaki kes ke- 12,549 sebagai kes indeks namun hasil siasatan lanjut mendapati gejala pesakit bermula lebih lewat berbanding kes ke-15,023.

"Pecahan bagi 132 kes positif Covid-19 dikesan dalam kluster ini membabitkan 87 pekerja keselamatan, 18 pekerja pembersihan, 16 pekerja di beberapa premis pusat beli-belah, enam pengunjung dan lima ahli keluarga kes ke-12,549.

"Seramai 447 individu sudah disaring manakala 46 individu masih menunggu keputusan setakat hari ini," katanya.

Katanya, pusat beli-belah itu ditutup bermula 11 hingga 16 Oktober bagi proses nyah kuman dan pembersihan.

"Saringan kontak rapat dan aktiviti pengesanan kes secara aktif bagi kluster ini masih diteruskan oleh Pejabat Kesihatan Daerah terbabit," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 15, 2020 @ 7:10pm
    d