mutakhir

Agong nasihat ahli politik muhasabah diri

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menasihatkan ahli politik untuk bermuhasabah agar negara ini tidak sekali lagi diheret ke kancah politik ketika berdepan masa depan sukar akibat ancaman Covid-19.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Al-Sultan Abdullah mengulangi titah nasihat kepada Ahli Parlimen semasa Istiadat Perasmian Pembukaan Penggal Ketiga Parlimen ke-14 pada Mei lalu, untuk mempamerkan kematangan dalam berpolitik, memahami dan menjiwai keluh kesah rakyat dan tidak mengabaikan kesejahteraan rakyat.

"Seri Paduka Baginda menasihati rakyat, khususnya ahli politik, untuk bersama bermuhasabah agar negara ini tidak sekali lagi diheret ke kancah politik yang tidak menentu ketika kita semua masih berhadapan dengan pelbagai masalah dan masa depan yang sukar akibat ancaman wabak Covid-19.

"Seri Paduka Baginda juga menegaskan ahli politik seharusnya tidak mengakhiri perbezaan pendapat dengan permusuhan tetapi sebaliknya menyelesaikan permasalahan melalui perundingan dan proses perundangan yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Al-Sultan Abdullah turut menitahkan semua masjid di seluruh negara mengadakan solat hajat dan doa selamat memohon kepada Allah SWT agar penularan wabak Covid-19 dapat dibanteras dengan berkesan dan segera.

Ini berikutan penguatkuasaaan semula Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh Sabah sehingga 26 Oktober 2020 dan Selangor, Kuala Lumpur serta Putrajaya sehingga 27 Oktober ini.

"Lantaran itu, Seri Paduka Baginda menasihati seluruh rakyat untuk terus memainkan peranan masing-masing dan berdisiplin mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan tatacara amalan kebiasaan baharu dalam membantu pihak berkuasa memerangi penularan Covid-19 demi keselamatan diri dan kesejahteraan negara.

"Mengambil keberkatan sempena hari Jumaat yang mulia ini, Al-Sultan Abdullah turut menyeru seluruh rakyat untuk berdoa semoga negara yang kita cintai bersama ini dikurniakan keamanan dan ketenangan agar kemakmuran dan kesejahteraan negara serta rakyat sentiasa terjamin," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 16, 2020 @ 12:01pm
    d