mutakhir

Bertikam lidah kerana ADUN tidak hadir

Oleh BERNAMA

Georgetown: Sesi persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, hari ini kecoh hampir 10 minit dengan pertikaman lidah beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berhubung isu ketidakhadiran ADUN Pantai Jerejak.

ADUN Zulkifli Ibrahim (Bersatu-Sungai Acheh) bangun bertanya kepada Speaker Datuk Law Choo Kiang ke mana ADUN Pantai Jerejak, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, sebelum DUN beralih kepada sesi penggulungan.

Persoalan itu menyebabkan ADUN Dr Afif Bahardin (Bersatu-Seberang Jaya) bangun dan membacakan Peraturan Dewan yang mewajibkan semua ADUN memaklumkan kepada setiausaha DUN dengan kadar segera jika tidak boleh hadir.

"Saya perhatikan, kerusi Pantai Jerejak ini telah kosong sejak hari pertama persidangan. Sebelum ini ada usul nak kosongkan kerusi... sekarang ini, ada kerusi tapi tiada wakil rakyat. Apa yang berlaku ini? Ini tindakan yang tidak menghormati Dewan," katanya.

Afif menyifatkan ADUN Pantai Jerejak seperti menerima gaji buta dengan tidak hadir ke DUN selepas mendapat mandat rakyat.

Tindakan itu menyebabkan sesi pertikaman lidah antara beberapa ADUN Pakatan Harapan yang bangun membantah dan meminta Afif untuk menarik balik perkataan 'gaji buta'.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Jagdeep Singh Deo turut menjerit supaya semua duduk dan jangan membazirkan masa kerana sesi penggulungannya tidak dapat bermula akibat kekecohan itu.

Law terpaksa campur tangan dan meminta semua ADUN bertenang dan duduk.

Katanya, walaupun beliau tidak dimaklumkan ke mana ADUN Pantai Jerejak, tetapi secara umumnya beliau mungkin akan hadir kemudian.

Saifuddin adalah Setiausaha Agung PKR yang juga Anggota Parlimen Kulim/Bandar Baharu.

Disiarkan pada: October 16, 2020 @ 2:20pm
d