mutakhir

UMNO tiada hasrat kemuka undi tak percaya terhadap Muhyiddin

Oleh Mohamed Farid Noh

Pontian: UMNO tidak berhasrat mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkenaan juga tidak pernah dibincangkan di dalam mana-mana mesyuarat parti berkenaan.

"Tidak ada. UMNO tidak pernah mempunyai hasrat membuat usul berkenaan terhadap Perdana Menteri.

"Tindakan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang mahu usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, dibahaskan di Dewan Rakyat adalah tindakan peribadi beliau dan UMNO tidak terbabit," katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir di Majlis Penyampaian Bantuan kepada Mahasiswa/Mahasiswi Parlimen Pontian di Dewan Muafakat Pusat Khidmat Benut, dekat sini.

Ahmad Maslan mengulas laporan Tengku Razaleigh yang dilaporkan mahu usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dibahaskan di Dewan Rakyat.

Ia susulan sepucuk surat yang dikirimkan Tengku Razaleigh sebelum ini yang mendakwa kerajaan pimpinan Muhyiddin menolak usul undi tidak percaya untuk dibahaskan sebanyak dua kali.

Sementara itu, beliau turut menolak dakwaan hubungan antara beberapa

pemimpin dalam UMNO retak sehingga mewujudkan kumpulan tertentu susulan keputusan Biro Politik mahu syarat baharu kerjasama dengan PN.

Katanya lagi, keputusan Biro Politik dibuat secara sebulat suara membabitkan semua 12Pengerusi Perhubungan UMNO negeri dan pemimpin sayap di samping mengambil kira pandangan akar umbi.

"Tidak timbul isu atau dakwaan bahawa UMNO telah berpecah seperti digembar-gemburkan oleh sesetengah pihak," katanya.

Ahmad Maslan juga menepis dakwaan hubungan UMNO dan PAS dalam Muafakat Nasional (MN) berada di hujung tanduk, sedangkan parti itu mahu kerjasama berkenaan didaftarkan sebagai gabungan politik yang sah.

"Ramai hanya baca perenggan pertama kenyataan Biro Politik UMNO pada Selasa lalu sahaja sedangkan perkara nombor dua kenyataan berkenaan adalah untuk mendaftarkan MN sebagai gabungan politik yang sah.

"Jika MN berpecah, tidak mungkin akan ada uusaha ke arah ia menjadi gabungan politik sah. Jadi dakwaan MN kini berpecah adalah tidak benar," katanya.

Disiarkan pada: October 16, 2020 @ 2:51pm
d