mutakhir

Warga emas rentung 'redah' api selamat anjing [METROTV]

Oleh BERNAMA

Melaka: Seorang warga emas lelaki ditemukan rentung bersama dua anjing peliharaannya dalam kejadian kebakaran di sebuah rumah di Lorong Yang Kee, Kampung Limbongan di sini, hari ini.

Ketua Zon Melaka Tengah, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Melaka Penolong Penguasa II Mohd Khairul Nizam Mohd Anuar berkata, dalam kejadian 6.47 pagi itu, mangsa, Ong Cheng Seng, 67, dikatakan tinggal seorang diri di rumahnya berkenaan.

"Mangsa dikatakan keluar dari rumah namun masuk semula ke dalam premis berkenaan bagi menyelamatkan tiga anjing peliharaannya.

"Anggota bomba menemukan mayat mangsa yang rentung di bahagian dapur rumahnya dan dua anjing mangsa yang rentung ditemukan di depan pintu rumah selepas berjaya memadamkan kebakaran," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian di sini, hari ini.

Mohd Khairul Nizam berkata, turut terbakar dalam kejadian itu termasuklah motosikal kepunyaan mangsa dan kereta milik jiran.

Beliau berkata, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Mohd Khairul Nizam berkata, pihaknya berjaya mengawal api dalam tempoh 11 minit sejurus tiba di tempat kejadian pada 6.54 pagi.

"Operasi pemadaman api itu membabitkan 17 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Kubu serta BBP Tangga Batu," katanya.

Sementara itu, jiran mangsa, Nor Lenny Mohd Sani, 44, berkata, beliau yang sedang menyiapkan anaknya ke sekolah terdengar bunyi letupan beberapa kali pada 6.45 pagi sebelum bergegas keluar dan melihat api mula marak.

"Saya menjerit beberapa kali meminta mangsa untuk menyelamatkan diri namun nampak dia keluar rumah tetapi dalam keadaan panik dia berlari semula ke bahagian belakang rumah. Saya rasa dia cuba selamatkan anjing belaannya," katanya.

Nor Lenny berkata, dia segera mendapatkan anaknya untuk keluar dari rumah manakala suaminya pula cuba membantu memadam kebakaran tetapi api marak dengan cepat ke bahagian lain.

Disiarkan pada: October 16, 2020 @ 3:06pm
d