mutakhir

Anwar tiba di Bukit Aman

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir ke Bukit Aman, hari ini untuk siasatan penyebaran senarai nama 121 ahli Parlimen yang didakwa menyokongnya.

Anwar hadir pada jam 3 petang melalui Pintu B Menara 2, Bukit Aman untuk memberi keterangan di pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) JSJ Bukit Aman.

Timbalan Pengarah (Siasatan dan Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid mengesahkan kehadiran Anwar.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed memaklumkan, sehingga semalam, sebanyak 113 laporan diterima pihaknya berhubung kes terbabit.

Kes itu diklasifikasikan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998.

Huzir turut menggesa orang ramai agar tidak membuat, menerbitkan atau mengedarkan apa-apa kenyataan, khabar angin atau berita yang mempunyai kecenderungan yang boleh menggugat ketenteraman awam bagi menjamin kesejahteraan dan keharmonian masyarakat.

Sebelum ini, Anwar menerusi satu sidang akhbar khas mengumumkan mempunyai sokongan Ahli Parlimen yang mencukupi untuk membentuk Kerajaan Persekutuan.

Beliau mendakwa yakin mempunyai majoriti hampir dua pertiga Ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu sekali gus menumbangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Disiarkan pada: October 16, 2020 @ 3:28pm
d