mutakhir

Moratorium lanjutan: GPBM harap campur tangan kerajaan

Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Gabungan Pengusaha Bas Malaysia (GPBM) berharap campur tangan Kementerian Kewangan (MOF) supaya syarikat pinjaman kredit dapat memberi kelonggaran melanjutkan moratorium pinjaman sehingga keadaan ekonomi kembali pulih.

Pengerusi Persatuan Pengusaha Bas Catar Malaysia (PPBCM), Mohd Rofik Mohd Yusof berkata, kebanyakan ahli GPBM kini tertekan untuk menjelaskan ansuran pinjaman penuh berikutan tidak mempunyai pendapatan tetap susulan pandemik Covid-19.

Katanya, sebanyak 90 peratus daripada keseluruhan 30,000 pengusaha bas yang didapati membuat pinjaman daripada syarikat kredit ketika ini tertekan untuk membuat pembayaran semula selepas tempoh moratorium berakhir bulan lalu.

"Ada antara syarikat kredit menawarkan penjadualan semula pinjaman namun mengenakan kenaikan faedah tambahan, ia sekali gus menambah beban kepada pengusaha bas.

"Dalam keadaan sekarang sukar untuk pengusaha membuat pembayaran pinjaman bulanan kepada syarikat kredit antara RM8,000 hingga RM10,000.

"Keadaan ini berbeza dengan syarikat perbankan di bawah kelolaan Bank Negara (BNM) yang memberikan moratorium pinjaman sehingga Disember ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan mesyuarat bersama pemimpin dan wakil ahli gabungan GPBM di Carton Hotel Star, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Pertubuhan Muafakat Pengusaha dan Pemandu Bas Negeri Johor R Thiagarajan; Presiden Gabungan Bas Persiaran Zon Utara, Ahmad Ruslan dan Setiausaha Pertubuhan Gemilang Agensi Pelancongan dan Pengusaha Bas Malaysia, N Gunaratnam.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 16, 2020 @ 3:39pm
    d