mutakhir

EAIC buka kertas siasatan kehilangan Datuk Seri

Oleh Ilah Hafiz Aziz

Kuala Lumpur: Kehilangan suspek utama kes pengubahan haram didalangi sindiket Macau Scam ketika dalam proses serahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kepada polis akan disiasat mengikut Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 [Akta 700].

Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) Tan Sri Mohd Sidek Hassan berkata, pihaknya sudah membuka kertas siasatan itu mengikut Seksyen 28, akta berkenaan.

"Kami memandang serius kes suspek melarikan diri dan punca yang mengakibatkan ia boleh berlaku. Kami sedang mengambil tindakan sewajarnya mengikut peruntukan di bawah Akta 700.

"EAIC juga sudah membuka kertas siasatan dan akan memaklumkan tindakan selanjutnya yang diambil nanti," katanya pada kenyataan hari ini.

Seksyen 28 adalah peruntukan yang membolehkan suruhanjaya itu memulakan siasatan berdasarkan inisiatif sendiri disebabkan ia mempunyai kepentingan terhadap orang awam.

Isnin lalu, suspek utama yang disiasat dalam kes itu meloloskan diri dengan memanjat pagar belakang bangunan SPRM di Putrajaya sebelum melarikan diri dengan kenderaan yang menunggunya di luar pagar.

Ketika kejadian, lelaki itu bersama tiga lagi suspek, yang juga dalang utama kes penipuan Macau Scam, dan dua pegawai polis dalam proses diserah kepada PDRM untuk siasatan berhubung kegiatan judi dalam talian dan penipuan Macau Scam.

Disiarkan pada: October 16, 2020 @ 5:56pm
d