mutakhir

Anwar dakwa siasatan bermotifkan politik [METROTV]

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa enam kertas siasatan yang dibuka polis terhadapnya bermotifkan politik.

Anwar percaya proses rakaman keterangannya di Bukit Aman bermula 3 petang tadi adalah arahan politik kepada polis untuk menekan beliau mendedahkan nama Ahli Parlimen yang menyokongnya dalam penjajaran politik baharu.

Bagaimanapun, beliau berkata, sepanjang tempoh dua jam dari 3 petang hingga 5 petang tadi, polis menjalankan tugas siasatan secara profesional dan bertanggungjawab serta berintegriti.

"Saya dengan peguam saya Ram Karpal Singh memberi kerjasama penuh dengan polis, tapi pelik mereka soal tentang sokongan 121 Ahli Parlimen.

"Saya jelaskan bahawa bukan hadir beri kerjasama dengan ahli politik untuk dedahkan siapa kesemuanya, ini soal antara saya dan Agong (Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah), bukan urusan mereka yang tidak berkaitan," katanya kepada media di perkarangan Bukit Aman, hari ini.

Anwar berkata, ada enam kertas siasatan terhadapnya dibuat dan siasatan lebih menjurus kepada meminta beliau mendedahkan nama Ahli Parlimen yang menyokongnya untuk menubuhkan kerajaan baharu.

"Ada soalan lain mengenai siasatan lain kes liwat tetapi majoritinya menjurus sokongan 121 Ahli Parlimen (penjajaran politik negara).

"Saya nampak ini satu rencana berunsur politik untuk menekan saya dalam saat-saat genting ini, kebanyakan soalan polis menjurus banyak soal politik mengenai Ahli Parlimen dan juga tentang pertemuan saya dengan YDPA (Yang di-Pertuan Agong).

"Tetapi saya beritahu polis tadi tidak munasabah orang luar mengetahui secara terperinci apa yang berlaku di antara saya dengan YDPA, itu bukan urusan mereka," katanya.

Terdahulu, Anwar hadir di Bukit Aman pada 3 petang bagi memberi keterangan dan membantu siasatan penyebaran senarai nama 121 ahli Parlimen yang didakwa menyokong pimpinannya dalam penjajaran politik negara.

Anwar keluar dari Bukit Aman sekitar 5.15 petang sebelum menemui media di hadapan Bukit Aman.

Ditanya sama ada beliau perlu hadir semula untuk merakam keterangan polis, beliau berkata, tiada lagi keperluan itu, malah beliau dengan polis berpuas hati dengan sesi rakaman keterangan itu.

Ahli Parlimen Port Dickson itu yang juga merangkap Ketua Pembangkang mendakwa wujud gangguan politik kerana berdasarkan pemahamannya, arahan politik turun kepada polis untuk menekan beliau.

"Saya cakap begini sebab cara mereka (polis) tanya soalan serta isu yang dibangkitkan lebih cenderung mengenai senarai nama Ahli Parlimen, siapa mereka, apa nama mereka dan jaminan sokongan mereka yang jelas bukannya urusan mereka tapi tugas saya mempersembahkan kepada baginda Agong.

"Lagipun saya nak ingatkan bahawa saya tidak pernah sebut mempersembahkan senarai nama Ahli Parlimen kepada YDPA pada Selasa lalu, saya sebut hanya mempersembahkan surat dan dokumen sokongan sahaja (tanpa nama) 38 ahli Parlimen PKR kepada baginda Agong," katanya.

Dalam pada itu peguamnya, Ram Karpal pula menyifatkan pendekatan polis yang menyiasat kesemua enam kertas siasatan terhadap Anwar secara tergesa-gesa berbanding kebiasaannya mengambil masa yang lama dan fokus setiap siasatan.

"Kes disiasat hari ini mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998," katanya.

Disiarkan pada: October 16, 2020 @ 6:57pm
d