mutakhir

Remaja melecur rumah terbakar

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: Seorang remaja lelaki melecur di bahagian badan selepas rumah yang didiami bersama ahli keluarganya terbakar di Kampung Semut Api, Jalan Pantai Cahaya Bulan (PCB), di sini, awal pagi hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Bharu Penolong Penguasa Bomba Zukeri Shafie berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 6.19 pagi dan tiba di lokasi kejadian 10 minit kemudian.

Katanya, seramai 21 anggota dari BBP Kota Bharu dikerahkan ke lokasi kejadian bersama tiga jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

"Setibanya di lokasi kejadian, didapati sebuah rumah sudah 100 peratus terbakar termasuk sebuah kereta Proton Wira dan lima motosikal turut hangus terbakar.

"Kami mengambil masa selama 15 minit untuk mengawal api dan berjaya dipadamkan sepenuhnya 30 minit kemudian sebelum operasi ditamatkan 8.06 pagi," katanya ketika dihubungi.

Zukeri berkata, kejadian itu turut menyebabkan seorang daripada tujuh penghuni rumah berkenaan berusia 17 tahun melecur 30 peratus di bahagian badan ketika keluar dari kediaman berkenaan untuk menyelamatkan diri.

"Difahamkan, dalam keadaan api sedang marak, mangsa telah diselamatkan oleh ahli keluarganya yang menyedari kejadian itu.

"Mangsa yang cedera kemudiannya dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) untuk mendapatkan rawatan," katanya.

Beliau berkata, kerugian dan punca kebakaran masih dalam siasatan.

Disiarkan pada: October 16, 2020 @ 9:17pm
d