mutakhir

Laksana proses sanitasi di pusat bandar [METROTV]

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) komited untuk terus melakukan proses sanitasi awam di sekitar pusat bandar terutama di kawasan yang menjadi tumpuan umum.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Mahadi Che Ngah berkata, operasi sanitasi awam ini akan dilaksanakan dari masa ke masa bagi mengurangkan penularan wabak Covid-19.

Katanya, sejak Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) diumumkan pada 14 Oktober lalu, DBKL sudah mengambil tindakan memperkuatkan lagi operasi sanitasi.

"Hari ini, operasi sanitasi dibantu 80 anggota yang terdiri daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan anggota DBKL.

"Kita memilih melakukan operasi sanitasi pada hujung minggu dan lokasi menjadi tumpuan awam disebabkan keadaan jalan yang lenggang dan membolehkan operasi berjalan lancar.

"Kita menjalankan proses sanitasi ini di kawasan sekitar 500 meter radius dari pusat bandar, antaranya di sekitar Jalan Dataran Merdeka, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Ampang, Jalan Bukit Nenas, Jalan Petaling dan Pasar Seni," katanya kepada media selepas membuat tinjauan operasi sanitasi awam di sini, hari ini.

Mahadi berkata, pihaknya yakin operasi sanitasi awam ini membantu memastikan Bandar Kuala Lumpur bebas Covid-19 dan inisiatif ini akan diteruskan memandangkan negara berdepan gelombang ketiga Covid-19 dan agar bilangan bergejala dapat dikurangkan.

Pada masa sama Mahadi menyeru agar orang ramai memberi kerjasama dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

"Hanya melalui pematuhan SOP kita dapat menyekat penularan wabak dan saya percaya warga kota dapat membantu menyekat penularan Covid-19 ini," katanya.

Sementara itu, berhubung penutupan Dataran Merdeka, Mahadi berkata buat masa ini Dataran Merdeka akan ditutup sepenuhnya sehingga hujung tahun bagi kerja penyelenggaraan.

"Dataran Merdeka masih ditutup dan penutupan itu bagi membolehkan kerja penggantian rumput dijalankan di padang berkenaan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 17, 2020 @ 11:45am
    d