mutakhir

Anggota polis cedera diserang dengan sabit

Oleh Mohd Khidir Zakaria

Port Dickson: Seorang lelaki cedera ditembak selepas menyerang anggota polis dengan menggunakan sabit di sebuah tapak 'food truck' berhampiran Pasaraya TF di PD Waterfront, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, polis menerima panggilan daripada orang awam mengatakan terdapat seorang lelaki memegang sabit.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, siasatan mendapati suspek membuat kacau di kawasan awam di tapak food truck, Port Dickson.

"Bertindak atas maklumat, anggota ronda Balai Port Dickson dibantu anggota MPV bersama pegawai pergi ke tempat kejadian.

"Suspek didapati melarikan diri ke suatu kawasan semak di tepi pasar raya dan anggota MPV memberhentikan kenderaan di tempat suspek sembunyi.

"Sebaik anggota polis keluar dari kenderaan, mereka nampak suspek berlari ke arah anggota polis dengan memegang senjata sabit," katanya dalam satu kenyataan media tadi.

Katanya, anggota polis mengarahkan suspek berhenti namun tidak diendahkan dan masih berlari ke arah polis dengan memegang senjata itu.

"Anggota polis melepaskan satu das tembakan pada jarak lima meter namun suspek masih menyerang dan untuk pertahankan diri anggota melepaskan satu das lagi tembakan mengenai perut suspek.

"Sejurus tembakan kedua dilepaskan, suspek sudah menghayun sabit ke arah anggota polis dan terkena pada bahagian kepala sebelah kiri," katanya.

Aidi Sham berkata, kemudian berlaku pergelutan dan suspek berjaya ditangkap oleh polis.

"Suspek dibawa ke Hospital Port Dickson (HPD) untuk menerima rawatan manakala anggota polis yang cedera diberi rawatan awal di tempat kejadian sebelum dirujuk ke HPD untuk rawatan lanjut.

"Suspek kini berada di Hospital Seremban di bawah pemantauan Wad ICU.

"Keadaan mangsa dilaporkan stabil dan akan menjalani satu lagi pembedahan pada esok," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan Senjata Berbahaya 1958.

"Suspek mempunyai rekod lampau satu kes Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan senjata Berbahaya 1958," katanya.

Disiarkan pada: October 17, 2020 @ 12:38pm
d