mutakhir

SK Bukit Pak Kiau, SMK Bukit Payung disanitasi

Oleh Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah melakukan sanitasi awam di dua sekolah di Pokok Sena yang ditutup sebelum ini berikutan penularan Covid-19.

Sekolah terbabit adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Pak Kiau dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Payung di sini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, sanitasi pertama dilakukan di SK Bukit Pak Kiau bermula jam 9.15 pagi, membabitkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pokok Sena yang dipantau penyelia pasukan A.

"Antara kawasan yang disanitasi termasuk dalam bilik kelas, tandas, tangga dan makmal sekolah berkenaan.

"Operasi tamat pada jam 9.45 pagi dan disambung ke SMK Bukit Payung jam 10.15 pagi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, operasi kedua tamat pada jam 10.40 pagi dan lokasi yang disanitasi termasuk tangga, bilik kelas dan tandas.

Beliau berkata, operasi sanitasi menggunakan cecair sodium hypoclorite.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 17, 2020 @ 2:11pm
    d