mutakhir

Tempoh kuarantin kendiri Perdana Menteri tamat

Oleh Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin tamat tempoh kuarantin kendiri semalam selepas ujian saringan pengesanan Covid-19 sampel kedua beliau disahkan negatif.

Pejabat Perdana Menteri menerusi hantaran terbaru di Facebook berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang melakukan ujian saringan kedua pada 14 Oktober mengesahkan ia negatif keesokan harinya.

"Sehubungan itu, Pejabat Perdana Menteri ingin memaklumkan kedua-dua ujian pengesanan Covid-19 Perdana Menteri sepanjang tempoh kuarantin kendiri disahkan negatif dan tempoh kuarantin kendiri beliau tamat pada 16 Oktober.

"Bagaimanapun, Perdana Menteri terus komited mempengerusikan mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkenaan Covid-19 yang diadakan secara sidang video pagi tadi," katanya.

Menurutnya, walaupun tempoh kuarantin kendiri tamat, Mesyuarat Khas MKN masih dijalankan melalui sidang video sebagai langkah berjaga-jaga dalam menghadapi situasi semasa Covid-19 dalam negara.

Mesyuarat khas MKN berlangsung setiap hari bermula 7 Oktober lalu.

Sebelum ini, Muhyiddin menjalani kuarantin kendiri di kediamannya selepas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri disahkan positif Covid-19.

Beliau sebelum ini mempengerusikan Mesyuarat Khas MKN yang turut dihadiri Zulkifli pada 3 Oktober lalu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 17, 2020 @ 2:37pm
    d