mutakhir

Hospital Medan ATM siap 70 peratus

Oleh Abdul Rahemang Taiming

Tawau: Persiapan fasa pertama hospital sementara, Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Komplek Sukan Tawau kini siap 70 peratus dan dijangka beroperasi mengikut jadual.

Komander Hospital Medan ATM di Tawau, Kolonel Dr Shamsul Bahary Muhamad, berkata ketika ini persiapan di peringkat akhir termasuk membawa masuk peralatan, kelengkapan dan fasiliti hospital sedang giat dijalankan.

Menurutnya, persiapan turut membabitkan atur gerak kemudahan perubatan ATM dari Bravo Kompeni, Batalion Pertama Perubatan (B Komp 1 Bn Ubat) yang berpangkalan di Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu.

"Ujian penuh sistem di hospital ini dijangka Isnin depan, sebelum beroperasi sepenuhnya 20 Oktober ini," katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini.

Sementara itu katanya, pasukan petugas perubatan terdiri daripada empat pegawai bersama 29 anggota lain-lain pangkat yang menaiki pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) A400 selamat mendarat di Lapangan Terbang Tawau kira-kira 11.49 pagi tadi.

"Mereka dianggotai Timbalan Komander Hospital Medan ATM, pakar bedah, pakar bius dan pakar kecemasan serta pegawai dan petugas kesihatan ATM bagi penugasan fasa pertama itu nanti," katanya.

Hospital Medan yang terletak kira-kira sepuluh minit perjalanan dari Hospital Tawau itu dibina dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan ATM.

Ia bertujuan untuk menyokong Hospital Tawau bagi merawat kes-kes bukan Covid-19 dan mempunyai kapasiti wad pesakit dalam berbagai disiplin seperti pembedahan, ortopedik, perubatan, kanak-kanak dan wanita.

Keupayaan hospital ini juga boleh dipertingkatkan pada bila-bila masa pada fasa seterusnya termasuk dewan bedah dan High Dependency Unit bagi tempoh sekurang-kurangnya selama tiga bulan.

Disiarkan pada: October 17, 2020 @ 2:55pm
d